Supporting Your Children’s Brain Development in the First 5 Years
Listen Transcript

Menyokong Perkembangan Otak Kanak-kanak dalam 5 Tahun Pertama Kehidupan

Artikel

Menyokong Perkembangan Otak Kanak-kanak dalam 5 Tahun Pertama Kehidupan

Jul 23, 2026
6 minit

Setiap kanak-kanak dilahirkan dengan potensi untuk belajar, dan lima tahun pertama kehidupan merupakan tempoh otak berkembang serta membentuk pelbagai sambungan saraf pada kadar yang sangat pesat. Dalam tempoh ini, pengalaman harian, hubungan dengan orang sekeliling, tidur yang mencukupi, pergerakan aktif dan pemakanan yang baik bekerjasama membina laluan saraf yang menyokong perhatian, bahasa, penyelesaian masalah dan perkembangan emosi. Di ParenTeam, kami membantu ibu bapa memahami sains perkembangan kanak-kanak dengan lebih mudah melalui panduan praktikal untuk menyokong perkembangan otak si manja dalam lima tahun pertama kehidupan. Sebagai platform pendidikan keibubapaan yang dipercayai di Malaysia, ParenTeam menyediakan panduan berasaskan pakar, alat sokongan praktikal dan komuniti yang membantu anda membesarkan anak yang ingin tahu, berdaya tahan dan gemar belajar sejak awal usia. 

Mengapa Tahun-Tahun Awal Kanak-kanak Sangat Penting?

Menjelang usia lima tahun, saiz otak kanak-kanak telah mencapai hampir 90% daripada saiz otak dewasa1. Dalam tempoh ini, otak membina dan mengukuhkan sambungan saraf pada kadar yang luar biasa, sekali gus membentuk asas kepada pembelajaran dan tingkah laku sepanjang hayat. Salah satu proses penting dalam perkembangan otak ialah mielinasi, iaitu proses pembentukan lapisan pelindung yang dipanggil mielin pada serabut saraf. Mielin membantu penghantaran isyarat saraf menjadi lebih pantas dan cekap.

Nutrien seperti DHA dan sphingomyelin memainkan peranan penting dalam proses ini:

  • DHA membantu menyokong struktur dan fungsi otak yang terlibat dalam pembelajaran serta ingatan.
  • Sphingomyelin membantu proses mielinasi dan pembentukan sambungan otak yang kukuh serta cekap. 

Apabila kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran yang penuh kasih sayang, komunikasi yang responsif dan pembelajaran melalui permainan, proses perkembangan otak ini dapat berlaku dengan lebih optimum. Oleh itu, menyokong perkembangan otak anak dalam lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak merupakan antara pelaburan terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa. 

 

Memahami Perkembangan Anak Melalui Pencapaian Perkembangan (Milestone)

Perkembangan otak pada usia awal dapat dilihat melalui perubahan yang berlaku dalam kehidupan harian. Kanak-kanak mula mengukuhkan deria mereka melalui sentuhan, bunyi dan hubungan mata. Kanak-kanak kecil mula menguasai kemahiran bertutur, pergerakan dan penyelesaian masalah. Kanak-kanak prasekolah terus memantapkan bahasa, tumpuan, perancangan dan pengawalan emosi dengan bimbingan orang dewasa. 

Ramai ibu bapa tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan pencapaian perkembangan.

Secara ringkasnya, milestone ialah kemahiran yang kebanyakan kanak-kanak mampu capai pada usia tertentu, seperti menyebut perkataan pertama atau berjalan buat kali pertama. Ia bukan satu ujian, sebaliknya panduan untuk membantu ibu bapa memantau perkembangan anak dan mendapatkan bantuan awal sekiranya diperlukan. 

Cabaran yang sesuai dengan tahap kemampuan anak boleh membantu membina daya tahan dan keyakinan diri. Sebaliknya, tugasan yang terlalu sukar tanpa sokongan yang mencukupi boleh menyebabkan mereka berasa tertekan. Hubungan yang konsisten dan penuh kasih sayang merupakan faktor penting yang membantu melindungi serta menyokong perkembangan otak kanak-kanak. 

 

Bina Hubungan yang Kukuh Melalui Interaksi Responsif

Ikatan yang selamat antara ibu bapa dan anak terbentuk apabila penjaga peka serta responsif terhadap isyarat yang ditunjukkan oleh anak. Contohnya: anak membebel, anda memberi respons atau anak menunjuk sesuatu, anda menamakan objek tersebut. Interaksi seperti ini membantu mengukuhkan perkembangan bahasa, tumpuan dan memori. Malah, interaksi kecil yang dilakukan secara konsisten lebih penting daripada cuba menjadi ibu bapa yang sempurna. Beberapa cara yang boleh diamalkan:

  • Namakan emosi anak:"Adik rasa kecewa sebab menara blok itu runtuh ya?"
  • Tunjukkan cara menenangkan diri seperti menarik nafas panjang atau mengira perlahan-lahan.
  • Bimbing anak menyelesaikan masalah dengan bertanya:"Apa yang boleh kita cuba selepas ini?"

Lama-kelamaan, anak akan belajar empati dan kawalan diri yang menyokong kejayaan mereka di sekolah dan dalam hubungan sosial. 

Bermain Sambil Belajar

Bermain ialah cara utama kanak-kanak mempelajari kemahiran baharu. Anda tidak memerlukan mainan yang mahal. Malah, bahan mudah yang terdapat di rumah sering kali lebih berkesan untuk merangsang pembelajaran. 

  • Permainan berpura-pura membantu mengembangkan
  • Kemahiran bahasa
  • Kreativiti
  • Keupayaan memahami perspektif orang lain

Aktiviti membina

Membina menggunakan blok atau kotak membantu meningkatkan:

  • Kemahiran ruang
  • Pemikiran logik
  • Kemahiran matematik awal

Bermain di luar rumah

Aktiviti luar membantu:

  • Perkembangan motor
  • Kemahiran fokus
  • Pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan

Permainan bergilir-gilir

Permainan yang memerlukan giliran membantu mengasah:

  • Kemahiran sosial
  • Kesabaran
  • Kawalan diri

5 Aktiviti Ringkas yang Boleh Dicuba

  • Pancaragam Dapur. Gunakan sudu dan periuk untuk mengenali ritma serta konsep kuat dan perlahan.
  • Mencari Warna. Cari objek berwarna merah di sekeliling rumah dan kira jumlahnya bersama-sama.
  • Cabaran Membina Menara. Bina menara dan tanya: "Apa yang akan berlaku jika kita tambah satu blok lagi?" Kemudian uji bersama-sama.
  • Bakul Cerita. Pilih tiga objek secara rawak dan cipta cerita berdasarkan objek tersebut.
  • Permainan Rima. Galakkan kesedaran bunyi bahasa melalui permainan mencari perkataan yang mempunyai bunyi akhir yang sama.

Pemakanan untuk Menyokong Perkembangan Otak

Pemakanan seimbang membekalkan nutrien yang diperlukan untuk menyokong perkembangan otak, pembelajaran, fokus dan memori. Walaupun setiap anak mempunyai selera makan yang berbeza, menawarkan pelbagai jenis makanan berkhasiat serta waktu makan yang konsisten membantu membentuk tabiat pemakanan yang sihat sepanjang hayat. 

MakananNutrien UtamaManfaat
Ikan berlemak (salmon, kembung)DHAMenyokong fungsi otak dan pembelajaran
TelurKolina dan sphingolipid termasuk sphingomyelinMenyokong perkembangan otak, mielinasi dan memori
Sayuran hijauZat besi, folat dan antioksidanMenyokong perhatian dan kesihatan otak
Bijirin penuhVitamin B dan seratMembekalkan tenaga berpanjangan untuk pembelajaran
Produk tenusu dan kekacangZink, iodin dan proteinMenyokong pertumbuhan serta memori

Tip Praktikal

  • Hidangkan pelbagai jenis makanan sepanjang minggu.
  • Gabungkan makanan kegemaran dengan makanan baharu.
  • Kekalkan waktu makan dan snek yang konsisten.
  • Galakkan pengambilan air kosong.
  • Hadkan makanan tinggi gula dan makanan ultra-proses. []

Susu tumbesaran juga boleh membantu melengkapkan keperluan nutrisi harian apabila selera makan anak berubah-ubah. Produk yang mengandungi DHA dan sphingomyelin boleh membantu menyokong perkembangan otak apabila digabungkan dengan pemakanan seimbang. 

 

Tidur, Aktiviti Fizikal dan Rutin Harian

Aktiviti fizikal membantu meningkatkan aliran darah ke otak serta menyokong keupayaan otak membentuk sambungan baharu. Bagi kanak-kanak, galakkan aktiviti tummy time dan bermain di lantai dengan pengawasan. Bagi kanak-kanak yang lebih besar, cuba aktiviti seperti merangkak, memanjat, berlari, melompat, menari dan aktiviti keseimbangan. Semuanya menyokong perkembangan fizikal dan kognitif. 

Tidur yang mencukupi juga membantu mengukuhkan memori serta menyokong kestabilan emosi dan tingkah laku. Rutin tidur yang konsisten adalah amat penting untuk perkembangan menyeluruh anak. 

 

ParenTeam: Rakan Sokongan Anda

ParenTeam menyediakan artikel pakar, bengkel dan pelbagai alat sokongan yang membantu ibu bapa memahami sains perkembangan kanak-kanak dengan lebih mudah dan praktikal. Ibu bapa mempercayai kami kerana:

  • Kandungan berasaskan bukti yang disemak oleh pakar pemakanan dan perkembangan kanak-kanak.
  • Tip praktikal yang sesuai dengan budaya dan gaya hidup keluarga Malaysia.
  • Sokongan komuniti yang membantu ibu bapa kekal konsisten dan yakin.  

 

Soalan Lazim

Berapa lama masa skrin yang sesuai untuk kanak-kanak bawah lima tahun?

  • 12 hingga 18 bulan: Elakkan penggunaan skrin kecuali panggilan video.
  • 18 hingga 24 bulan: Pilih kandungan berkualiti dan tonton bersama.
  • 2 hingga 5 tahun: Hadkan kepada kira-kira satu jam sehari dan utamakan kandungan yang berkualiti. 

Bagaimana jika saya bimbang tentang perkembangan anak?

Percayai naluri anda dan berbincang dengan pakar pediatrik. Minta pemeriksaan perkembangan jika perlu. Sokongan awal sering dikaitkan dengan hasil perkembangan yang lebih baik. Teruskan bermain, membaca dan berinteraksi secara responsif dengan anak sepanjang proses penilaian dijalankan. 

Bagaimana keluarga yang sibuk boleh memasukkan elemen pembelajaran dalam rutin harian?

Gunakan aktiviti harian sebagai peluang pembelajaran:

  • Bercerita semasa melakukan kerja rumah
  • Mengira anak tangga bersama
  • Menyanyi ketika waktu mandi
  • Menyediakan buku untuk dibaca pada bila-bila masa

Detik pembelajaran yang ringkas tetapi konsisten mampu memberikan impak yang besar. 

Langkah Seterusnya

Tahun-tahun awal kehidupan merupakan asas kepada pembelajaran sepanjang hayat. Dengan pemakanan yang sesuai, aktiviti bermain yang bermakna, tidur yang mencukupi dan hubungan yang kukuh dengan keluarga, anda boleh membantu membentuk anak yang lebih yakin dan bersedia untuk belajar. 

Penafian: Kandungan ini bertujuan sebagai maklumat umum sahaja dan tidak menggantikan nasihat perubatan profesional. Sila rujuk pakar kesihatan untuk nasihat yang sesuai dengan keperluan anak anda. 

References: 

  1. Halfon N, et al. Early Brain Development and Public Health. Dela J Public Health.2024.