Kurangkan Masa Skrin: Aktiviti Pembelajaran Menyeronokkan untuk Menyokong Perkembangan Anak Anda
Mengapa Mengurangkan Masa Skrin Penting
Kanak-kanak belajar dengan lebih baik melalui sentuhan, pergerakan, perbualan dan permainan. Terlalu banyak masa di hadapan skrin secara pasif boleh mengurangkan masa untuk tidur, aktiviti fizikal dan interaksi bersemuka yang penting untuk perkembangan otak. Aktiviti bermain yang interaktif dan membaca membantu memperkaya kosa kata serta meningkatkan daya tumpuan, manakala aktiviti fizikal membantu membina keseimbangan, koordinasi dan kekuatan badan, iaitu asas penting untuk persediaan ke sekolah.
Ikuti panduan mengikut usia: bagi kanak-kanak bawah 18 bulan, elakkan penggunaan skrin kecuali untuk panggilan video; bagi usia 18 hingga 24 bulan, pilih kandungan berkualiti tinggi dan tonton bersama penjaga; bagi usia 2 hingga 5 tahun, hadkan masa skrin kepada kira-kira satu jam sehari dan tonton bersama; bagi usia 6 tahun ke atas, tetapkan had yang konsisten agar tidak mengganggu waktu tidur, kerja sekolah dan masa bersama keluarga.
Rutin Mudah yang Memberikan Impak Besar
- Wujudkan rutin tanpa peranti seperti waktu makan bersama untuk bersembang, rutin sebelum tidur yang melibatkan mandi dan membaca buku, serta masa khas setiap hari untuk bermain secara fokus.
- Gunakan peralihan yang lembut seperti peringatan lima minit, pemasa visual dan isyarat “aktiviti seterusnya”, contohnya permainan susun suai gambar atau bakul cerita.
- Tetapkan peraturan yang positif seperti penggunaan skrin hanya selepas kerja sekolah selesai, tidak menggunakan skrin ketika makan atau di dalam bilik tidur, dan menghentikan penggunaan skrin sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur. Tunjukkan teladan dengan mengehadkan penggunaan telefon anda juga.
- Kurangkan masa skrin secara beransur-ansur dan raikan setiap kemajuan: catat tempoh penggunaan, pendekkan sesi secara perlahan-lahan dan gantikan masa skrin dengan aktiviti yang merangsang minda kanak-kanak prasekolah untuk mengekalkan momentum.
Alternatif Aktiviti Praktikal Mengikut Usia
Umur | Aktiviti | Kemahiran yang Dibangunkan |
Kanak-kanak (1–3 tahun) | Aktiviti tanpa skrin berinspirasikan Montessori seperti bekas permainan sensori dan puzzle berkeping besar; sesi bercerita interaktif | Kosa kata, kemahiran motor halus, pemahaman emosi |
Prasekolah (3–5 tahun) | Aktiviti seni dan kraf, permainan lakonan dan permainan matematik mudah | Kreativiti, kemahiran mengira dan mengelaskan, serta kemahiran sosial |
Awal usia persekolahan (6–9 tahun) | Membina menggunakan LEGO atau kadbod, menyemai benih dan menghasilkan peta pencarian objek | Penaakulan, penyelesaian masalah dan ketekunan |
Bergerak, Meneroka dan Berkarya
- Aktiviti fizikal: Laluan berhalangan, permainan bola, teng-teng dan berbasikal bersama keluarga membantu membina keyakinan diri serta kemahiran motor kasar.
- Penerokaan di luar rumah: Bandingkan daun, perhatikan serangga atau tanam herba. Tanya soalan seperti “Apa yang adik perasan?” untuk menggalakkan sifat ingin tahu.
- Aktiviti yang memerlukan tumpuan: Bacakan buku setiap hari, dengarkan buku audio ketika dalam perjalanan dan lakukan aktiviti seni serta kraf yang membantu membina ketekunan anak.
Untuk mencetuskan minat di rumah, tukar aktiviti secara berkala. Cuba aktiviti yang merangsang minda kanak-kanak prasekolah, seperti cabaran mengasingkan dan mengelaskan objek serta aktiviti bercerita.
Pemakanan yang Menyokong Pembelajaran
Lengkapkan usaha anda untuk mengurangkan masa skrin melalui aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan bagi menyokong perkembangan anak dengan pemakanan yang menyokong fungsi otak. Nutrien seperti DHA, AA, kolina, lutein dan prebiotik membantu menyokong fungsi kognitif, kesediaan untuk belajar, kesihatan mata dan keselesaan sistem penghadaman. Nutrien ini membantu kanak-kanak kekal peka, fokus dan bersedia untuk meneroka dunia di sekeliling mereka.